Thursday, 15 January 2009

Hikayat Bihun

Mahu dikatakan perut ini lapar, tidak juga. Namun aku tidak tahu mengapa minda dan hati seolah-olah sehati mengatakan bahawa ia perlu makan. Aku jenguk ke dalam peti ais, hanya ada bebola daging dan sayur di sana. Lalu aku terkenang tengahari tadi aku ada membeli rempah laksa sarawak dan bihun, sayangnya santan dan bahan-bahan lain pula tiada.

Minda mula berfikir, pati ayam pasti membantu. Ku rebus bihun dan mula memotong bebola daging, cili dan batang sayur. Aku toskan bihun sesudah ia masak. Ku rebuskan air di dalam kuali lalu aku campakkan bahan yang sudah aku potong bersama asam keping. Aku tambahkan pati ayam namun hati masih belum puas. Ku koyakkan plastik rempah laksa lalu ku picitkan isinya kedalam kuali yang sedang mendidih airnya. Sedap juga rasanya, aku mengomel sendiri. Ku masukkan sayur dan sedikit tepung jagung.