Monday, 22 August 2016

Rezeki Orang

Bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia bagi kita didatangi oleh orang yang meminta sedekah tatkala menjamu selera di kedai-kedai makan. Bagi aku yang duduknya di Kuala Lumpur, boleh dikatakan setiap kali makan di kedai  meja kami pasti didatangi golongan ini. Ada kanak-kanak seawal usia sekolah rendah, ada yang buta dan ada yang tua serta kelihatan uzur. Kulihat kalau kanak-kanak, badan mereka cukup sifatnya cuma kelihatan kurus dan tidak terurus yang mungkin disebabkan oleh kekurangan zat. Kalau yang buta, selalunya datang berdua dan temannya adalah seseorang yang cukup sifat dan sihat tubuh badannya. Ada yang datang berjual tisu, kerepek dan kuih dan ada yang datang hanya membawa dirinya.
Kadang-kadang rasa kasihan tapi ada kalanya rasa terganggu tambah-tambah bila golongan ini silih berganti datangnya hingga mahu makan dan berborak pun rasa kurang selesa. Dulu aku akan menolak memberi duit tambah-tambah kanak-kanak kerana aku tidak selesa menjadi salah seorang yang secara tidak langsung memberi idea kepada anak-anak bahawa meminta-minta itu ok. Juga kepada yang kelihatan sihat tubuh badan dan cukup sifatnya, kerana kufikir mereka ini sepatutnya masih mempunyai kudrat untuk berkerja. Aku sememangnya membenci sikap suka meminta tapi tidak mahu berusaha.

Sehinggalah satu ketika aku terfikir, kenapa perlu aku persoalkan semuanya. Jika mahu memberi, beri dan bantu sahaja seikhlas hati. Jika tidak mahu, tolak sahaja dengan hormat. Jika kita tolong, anggaplah itu rezeki dia. Kalaupun kita tertipu, itu urusan mereka.dengan yang Esa.