Hari ni genap empat tahun aku bekerja. Sedar atau tidak, empat tahun juga aku bekerja di syarikat yang sama. Aku agak beruntung sebenarnya kerana selepas habis SPM, terus sahaja aku diterima masuk ke IPTA tanpa perlu ke matrikulasi. Empat tahun yang di berikan untuk aku menamatkan pengajian dalam ijazah sarjana muda kejuruteraan sememangnya mendatangkan kelebihan.
Aku tidaklah tergolong dalam golongan pelajar yang cemerlang. Pelajar pintar juga bukanlah aku namun aku yakin tuhan sertakan dalam dna aku otak yang baik. Sungguhpun menyedari demikian, namun kemalasan mengatasi segala-galanya. Aku juga tidak tergolong dalam golongan pelajar yang sering bertanya kepada pensyarah soalan "spot" dan tips peperiksaan, malah aku selalu tidak hadir kuliah kerana hobi menjahit dan menonton tv aku hanya boleh dilakukan dirumah. Aku lebih suka mempelajari sesuatu yang diketahui dari mana hujung pangkalnya, biar lambat kataku, asalkan aku puas.
Aku menamatkan pengajian lewat 6 bulan dari tarikh yang sepatutnya. Selepas tamat pengajian, aku menjadi penjadi penganggur selama lebih 6 bulan. 3 bulan pertama aku habisi untuk merehatkan otak selepas penat berhempas pulas belajar, 3 bulan yang kemudiannya baru aku bertungkus lumus menghantar "resume" dan permohonan kerja. Aku pernah cuba menjadi guru gantian di sekolah kanak-kanak khas, namun pada hari pertama aku melapor diri, barulah di ketahui bahawa guru yang bakal aku ganti belum disahkan jawatan maka tidak dibenarkan sebarang penggantian.
Semasa aku agak berduka dengan satu hari yang agak malang, ibuku pula menelefon dari kampung memberitahu ada sebuah syarikat mahukan aku hadir temuduga. Namun ibuku terlupa bertanya nama syarikat, mahu pun nombor untuk dihubungi. Bertambahlah kecewa aku dalam satu hari yang sama.
Selepas sebulan, aku dipanggil menghadiri satu lagi temuduga. Aku pergi bersama kedua ibu bapaku. Aku sememangnya begitu, selesa di temani kedua-dua ibu bapaku. Sehingga saat ini, aku juga masih begitu. Selepas seminggu dua, aku diberitahu bahawa aku berjaya dalam temuduga tersebut dan diminta melaporkan diri pada hari yang bertarikh 1 July, empat tahun yang lepas.
Aku mulanya agak gusar memikirkan rumah sewa dan pengangkutan ke tempat kerja. Tambahan pula aku tidak pernah tinggal di wilayah tempat aku bekerja. Aku tinggal bersama saudara ayah. Bayangkanlah tinggal di sebuah rumah yang berada 1 km jauhnya dari jalan raya besar, dan hanya di kelilingi hutan tanpa sebuah rumah pun dalam lingkungan tersebut, aku mulanya agak takut. Hanyalah selepas beberapa bulan barulah aku dapat menyesuaikan diri.
Kerja tidak mendatangkan banyak masalah kepada aku. Walaupun gaji pada mulanya sememangnya rendah, namun aku tidak kisah. Asalkan pengalaman ada, itu sahaja sudah memadai. Bekerja dengan majoritinya lelaki, sememangnya bukan sesuatu yang janggal bagi aku. Aku tidak punya adik lelaki, mahupun abang namun aku sememangnya lasak sejak kecil. Pernah pakcik aku yang sememangnya seorang penglipurlara bercerita, semasa ibuku mengandung, ayahku berada di luar negara. Ibu mempunyai 6 orang adik yang kesemuanya lelaki. Mereka inilah yang bergilir-gilir menjaga dan menemani ibuku yang hamil, sehinggalah saat ketika aku di lahirkan. Aku selalu mendengar orang mengaitkan sikap seseorang dengan pembawaan dan sikap ibunya semasa mengandungkannya, aku sering percaya. Kali ini aku percaya juga.